Nelayan warga emas hilang selepas ke laut seorang diri
Bernama
September 10, 2023 15:30 MYT
September 10, 2023 15:30 MYT
KUANTAN: Seorang nelayan warga emas dilaporkan hilang sejak semalam, selepas keluar menangkap ikan seorang diri pada jarak 1.5 batu nautika Timur Laut Kuala Pahang, dekat sini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan keluar menggunakan bot gentian pada 5 pagi semalam.
"Mangsa dilaporkan tidak pulang ke jeti walaupun sepatutnya berbuat demikian pada 11 pagi hari yang sama. Rakan mangsa yang melakukan pencarian juga tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dan diperluas kepada 43 batu nautika persegi hari ini, dengan dibantu bot nelayan tempatan.
Kamal Ariffin sehubungan itu menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB) semasa melakukan aktiviti di laut.
-- BERNAMA