Nelayan Thailand selamat selepas 12 jam terapung di perairan Pulau Jarak
Bernama
April 20, 2017 21:34 MYT
April 20, 2017 21:34 MYT
Seorang nelayan warga Thailand menghadapi detik cemas apabila berada di tengah laut hampir 12 jam selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya, berhampiran Pulau Jarak, kira-kira 50 batu nautika dari barat Pulau Pangkor.
Sarawut Endu, 36, dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira 8 malam semalam sebelum berjaya ditemui oleh sebuah bot nelayan lain pada pukul 8.06 pagi tadi, kira-kira 17 batu nautika dari lokasi dia dipercayai jatuh.
Sarawut yang telah bekerja sebagai nelayan di negara ini sejak hampir dua tahun lalu berkata dia terkejut apabila terbangun daripada tidur dan mendapati dirinya sedang terapung di atas air.
"Saya memang tidak menyedari bagaimana saya boleh terapung di laut. Apa yang saya ingat saya sedang tidur di satu sudut di bahagian belakang kapal.
"Keadaan sangat menakutkan dengan hujan lebat, cuaca gelap dan saya cuma mampu berpaut pada sebuah penutup balang simpan ikan sehingga diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di jeti nelayan Kampung Sungai Pinang Besar, di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana melakukan operasi pencarian untuk menyelamatkannya selepas dilaporkan hilang.
Sementara itu, pemilik bot nelayan yang dinaiki Sarawut, Lam Eik Chean, 45, berkata bot yang membawa empat awak-awak dan seorang tekong keluar ke laut kira-kira pukul 2 pagi semalam dan dijadual pulang beberapa hari lagi.
"Tindakan pantas untuk melaporkan kejadian kepada TLDM melalui Rakan Maritim (RAKAM) akhirnya berjaya menyelamatkan pekerja saya. Terima kasih TLDM, APMM dan komuniti nelayan yang terlibat," katanya.
Ketua Pegawai Staf Operasi Pangkalan TLDM Lumut, Komander Mohamad Zamri Ismail berkata pihaknya menerima maklumat kehilangan nelayan itu kira-kira 10.40 malam sebelum mengarahkan KD Laksamana Tan Pusma yang sedang melakukan rondaan di Selat Melaka ke lokasi kejadian.
"APMM yang turut menerima maklumat menghantar KM Kimanis bagi bekerjasama mencari mangsa yang kemudiannya ditemui nelayan lain," katanya. -- BERNAMA
#bot
#jatuh
#nelayan
#Pangkalan TLDM Lumut
#Pulau Jarak
#Pulau Pangkor
#Sarawut Endu
#warga Thailand