Nelayan terperangkap 3 hari di pulau selepas hanyut banjir
Sinar Harian
Januari 27, 2023 07:50 MYT
Januari 27, 2023 07:50 MYT
KOTA MARUDU: Seorang nelayan yang terperangkap selama hampir tiga hari di Pulau Batu Laya-Laya di kawasan perairan Teringai dekat sini, berjaya diselamatkan pada Jumaat.
Jaikon Majumban, 52, dikatakan hanyut ketika banjir besar berlaku semasa dia sedang membersihkan perahunya kira-kira jam 6.45 pagi Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 11.30 pagi Jumaat.
"Dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki dewasa berseorangan dilihat tanpa berpakaian berada di pulau berkenaan.
"Bertindak atas maklumat tersebut, operasi menyelamat telah digerakkan pada jam 2 petang dengan dibantu penduduk menggunakan bot mereka memandangkan bot pasukan penyelamat tidak dapat merapat ke pulau berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Jumaat.
Tambah beliau, mangsa berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut sebagai pesakit luar.
"Berdasarkan keterangannya, pada hari kejadian mangsa keluar dari rumah untuk membersihkan dan membuang air dalam perahu miliknya yang diikat di tepi sungai Kampung Jambutan Laya- Laya.
"Tiba-tiba berlaku banjir dan arus kuat serta menghanyutkan mangsa bersama perahu sejauh kira-kira dua kilometer ke perairan laut Kampung Teringai Laut," katanya.
Zairolnizal berkata, mangsa kemudian terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu Laya-Laya untuk berlindung dan berada di pulau itu selama tiga hari dua malam.
"Mangsa tidak berpakaian semasa ditemui disebabkan pakaiannya tertanggal semasa terjun ke laut dan berenang ke pulau berkenaan dan jaraknya pula dengan kawasan daratan Kampung Teringai Laut adalah sejauh kira-kira 700 meter," katanya. -Sinar Harian