Nelayan terjatuh di perairan Batu Laut ditemukan meninggal dunia

Bernama
Oktober 4, 2024 23:42 MYT
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa dijumpai oleh nelayan tempatan pada kedudukan enam batu nautika barat daya Tanjung Gabang.
SHAH ALAM: Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas setelah dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut, ditemukan lemas di perairan Tanjung Gabang dekat sini pada 4.30 petang semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mangsa R. K Kesavan, 60, dijumpai oleh nelayan tempatan pada kedudukan enam batu nautika barat daya Tanjung Gabang.
"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mendapat maklumat awal daripada nelayan tempatan mengenai berita penemuan mayat mangsa.
"Susulan itu, aset menyelamat melibatkan Maritim Selangor dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) digerakkan ke lokasi penemuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kanchong Laut, Kuala Langat bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Mangsa dikatakan keluar ke laut bersama rakan menggunakan bot kelas A sebelum terjatuh selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot patah.
-- BERNAMA
#nelayan #jatuh bot #perairan batu laut #APMM #Maritim Malaysia
;