Nelayan terapung 15 jam di laut berpaut pada tin biskut
Bernama
Mac 24, 2020 12:43 MYT
Mac 24, 2020 12:43 MYT
Seorang nelayan warga tempatan terapung selama 15 jam di laut dengan hanya berpaut pada tin biskut sebelum diselamatkan orang awam di kedudukan tiga batu nautika timur Sedili Besar, Tanjung Sedili, dekat sini, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mangsa dikenali sebagai Ayub Musa, 35, seorang awak-awak bot nelayan tempatan dipercayai terjatuh ke laut sekitar pukul 5 petang Ahad tanpa disedari rakan sekerjanya yang lain.
"Mangsa yang terjatuh sempat berpaut pada tin biskut yang ditemui terapung di laut serta bernasib baik telah dijumpai oleh nelayan tempatan pada pukul 8 pagi semalam dalam keadaan lemah.
"Mangsa kemudiannya dibawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan" katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Aminuddin mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dalam menghadapi wabak COVID-19 dengan menjaga kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan, memakai topeng muka dan membuat persediaan yang wajar untuk ke laut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata pemantauan pihaknya sepanjang PKP menunjukkan penurunan aktiviti laut di perairan Johor Timur apabila hanya aktiviti perkapalan komersil dan penangkapan ikan oleh nelayan berlesen sahaja dibenarkan dengan aktiviti bersifat reakreasi termasuk memancing dilarang.
"Operasi bagi memastikan PKP terlaksana dengan baik bukan sahaja di darat tetapi di laut juga dititik beratkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain daripada tugas penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat," katanya. -BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Aminuddin Abdul Rashid
#nelayan
#Sedili Besar
#Tanjung Sedili
#terapung
#tin biskut