Nelayan tempatan hilang di perairan Sandakan

Astro Awani
Januari 25, 2020 12:15 MYT
Hari ini masuk hari kedua SAR membabitkan 35 anggota dari pelbagai agensi. - Foto polis maritim
Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang di perairan Telukan Sandakan, dekat sini, sejak Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Zainudin Mohd Zuki berkata, mangsa dikenali sebagai Joekinal Angkalamai, 36 tahun.
Menurutnya, mangsa keluar memancing menggunakan sampan jam 10 pagi dan tidak pulang ke rumah kemudiannya, lalu isterinya membuat laporan pada petang Jumaat.
"Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dan dimulakan, namun lelaki itu masih belum ditemui.
"Hari ini masuk hari kedua SAR membabitkan 35 anggota semuanya, dari pelbagai agensi," katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Menurutnya, ketika ini SAR sedang giat dijalankan dan menumpukan keluasan pencarian sekitar 20 batu nautika di perairan Sandakan.
#hilang #mangsa #Memancing #mencari dan menyelamat #nelayan #operasi #sampan #Sandakan #Zainudin Mohd Zuki
;