Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kejadian yang tular menerusi media sosial itu berlaku pada 11 Ogos lalu.
"Kita telah hubungi nelayan yang terlibat dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Ikan tersebut terperangkap ketika mereka sedang menangkap ikan menggunakan pukat jerut.
"Bagaimanapun, tekong dan awak-awak telah berusaha mengeluarkan ia daripada terus terperangkap di dalam pukat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.
Jelasnya, kejadian itu dirakam oleh kumpulan nelayan tersebut untuk berkongsi pengalaman kerana pertama kali ia memasuki pukat jerut.
Dalam pada itu, Ruzaidi turut memuji langkah nelayan menyelamatkan spesies hidupan tersebut.
"Yu paus adalah antara haiwan yang tersenarai di bawah Spesies Ikan Yang Dilindungi Di Bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, Akta Perikanan 1985.
"Tiada mana-mana pihak boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut mana-mana spesies ikan yang terancam yang dinyatakan dalam senarai itu kecuali dengan kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan, " katanya.
Beliau berkata, sekiranya mana-mana spesies ikan terancam ini ditangkap atau diambil dengan tidak sengaja semasa menangkap ikan, ia perlu dilepaskan dengan segera.
"Jika telah mati pula penangkapan atau pengambilannya itu hendaklah dilaporkan kepada pegawai perikanan dan perlu dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
"Sebarang kesalahan melibatkan senarai ikan terancam boleh dikenakan maksimum denda RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.
Baru-baru ini, tular sebuah video menerusi aplikasi Tik Tok yang memaparkan seekor ikan terperangkap dalam pukat.
Dua video berdurasi satu minit 41 saat itu sehingga kini menerima lebih 1.2 juta tontonan dan dikongsi ribuan pengguna media sosial. - Sinar Harian