Nelayan Sabah diingat jangan turun ke laut musim tengkujuh

Bernama
Ogos 8, 2019 22:59 MYT
Para nelayan dinasihatkan supaya peka dengan arahan dan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia. - Gambar hiasan
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong mengingatkan nelayan di negeri ini supaya tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh berikutan keadaan angin kencang dan laut bergelora di perairan pada ketika ini, dikhuatiri membahayakan keselamatan mereka.
Beliau berkata, meskipun kesemua nelayan diakui berpengalaman luas dan biasa dengan langkah keselamatan ketika di laut, namun, mereka masih terdedah kepada bahaya ketika keadaan cuaca tidak menentu dan langkah waspada perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
"Cuaca tidak menentu sekarang dijangka berterusan sehingga hujung minggu ini. Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, bot kecil dan rekreasi termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.
"Justeru, para nelayan dinasihatkan supaya peka dengan arahan dan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai keadaan terkini cuaca sekali gus menjauhi aktiviti di kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Para pengguna turut dinasihat supaya membuat persiapan awal membeli bekalan ikan terutama bagi yang menyambut Hari Raya Aidil Adha kerana dikhuatiri ikan tidak mencukupi berikutan keadaan cuaca tidak menentu, katanya.
-- BERNAMA
#bot nelayan #cuaca #keselamatan #laut bergelora #musim tengkujuh #nelayan sabah
;