Nelayan putus jari akibat tersepit pada mesin pukat

Muhammad Aiman Hakeem
Mac 26, 2022 14:25 MYT
Mangsa sedang melakukan kerja-kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar. - Maritim Malaysia
KOTA TINGGI: Seorang nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila jarinya terputus ketika sedang menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, di sini, pada pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan berkenaan insiden itu pada jam 9.20 pagi
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Azmi Arifin, 46 tahun, sedang melakukan kerja-kerja menarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.
"Nelayan tempatan memaklumkan bahawa salah seorang rakan mereka putus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat di perairan berkenaan.
"Bot pengadu juga dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.
"Susulan itu, Maritim Malaysia segera mengkoordinasikan bantuan pemindahan perubatan (MEDEVAC) dengan menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi kejadian.
"Mangsa telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 1.45 petang dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk diberikan rawatan awal
"Seterusnya mangsa diserahkan ke Hospital Sultan Ismail bagi rawatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pihak Maritim Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti maritim khasnya pemancing yang terlibat dalam memberikan bantuan dengan pantas kepada mangsa terlibat.
#nelayan #tarik pukat #APMM #putus jari
;