Nelayan perlu waspada hadapi Monsun Timur Laut - APMM Kelantan

Bernama
Disember 18, 2021 05:57 MYT
Nelayan diminta memaklumkan kepada persatuan, ahli keluarga atau APMM mengenai destinasi atau lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kecemasan. - Gambar fail/BERNAMA
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan memberi peringatan kepada nelayan pesisir pantai agar berwaspada dan memandang serius aspek keselamatan dalam menghadapi Monsun Timur Laut, tahun ini.
Pengarahnya Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata hal ini berikutan perairan Kelantan bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.
"Sepanjang musim ini, ombak juga boleh mencapai ketinggian 3.5 hingga 4.5 meter.
"Situasi ini boleh membahayakan para pengusaha bot terutamanya bot-bot pemancing rekreasi, bot tradisional dan bot fibreglass," katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Syed Nur Adli berkata nelayan perlu memaklumkan kepada persatuan, ahli keluarga atau APMM mengenai destinasi atau lokasi menangkap ikan untuk memudahkan pencarian sekiranya berlaku kecemasan.
"Kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Maritim Kelantan adalah seluas 27,637 km persegi dengan pantai sepanjang 78 kilometer.
"Maritim Kelantan akan terus komited memastikan keadaan perairan negeri Kelantan selamat dan berusaha meminimumkan kes kejadian yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda," katanya.
-- BERNAMA
#APMM Kelantan #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #monsun timur laut #nelayan
;