Nelayan P. Pinang sebulat suara bantah semua projek tambakan laut

Bernama
November 25, 2021 19:02 MYT
Sebuah bot nelayan memasuki muara sungai menuju ke jeti nelayan Permatang Damar Laut, berhampiran dengan cadangan projek PSR. - Gambar fail/ Bernama
GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) sebulat suara meluluskan resolusi menolak sebarang projek tambak laut di seluruh negeri ini termasuk rancangan tambakan di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dan di Bagan Ajam, Butterworth dekat sini.
Resolusi itu dibuat pada Mesyuarat Agung ke-36 Pen Mutiara yang diadakan hari ini sekali gus membuktikan pendirian rasmi komuniti nelayan di negeri itu untuk menolak projek tambakan laut yang jelas menjejaskan mata pencarian mereka.
Pengerusi Pen Mutiara Mahadi Md Rodzi berkata keputusan itu jelas menangkis dakwaan kononnya terdapat beberapa nelayan menyokong projek tambak laut khususnya PSR serta menolak tuduhan bahawa Pen Mutiara sebelum ini ada mengugut nelayan untuk membantah projek tersebut.
"Hari ini seramai 101 perwakilan daripada 6,000 nelayan di seluruh Pulau Pinang hadir mesyuarat agung dan kami semua sebulat suara menolak sebarang projek tambakan laut di negeri ini dan bukan seperti dakwaan sebelum ini yang kononnya ada nelayan setuju projek tersebut diteruskan.
"Resolusi menerusi mesyuarat agung itu juga adalah jelas merupakan suara dari akar umbi terutama nelayan di peringkat kawasan yang bakal terjejas secara langsung dengan rancangan projek tambakan laut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung itu di sini hari ini.
Terdahulu kumpulan nelayan itu turut mengadakan bantahan secara aman ketika mesyuarat berlangsung dengan masing-masing mengangkat sepanduk dan melaungkan bantahan terhadap sebarang projek tambakan laut di Pulau Pinang.
Kini terdapat dua projek tambak laut yang dirancang Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dan tambakan laut dari Bagan Ajam ke Telok Air Tawar seluas 407 hektar dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mahadi berkata mesyuarat agung Pen Mutiara hari ini turut meluluskan resolusi membantah rancangan pembangunan jeti pendaratan tuna di Batu Maung sekiranya melibatkan pengambilalihan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk kegunaan nelayan.
Katanya pihaknya difahamkan projek itu kini sedang dalam perancangan untuk dibangunkan oleh sebuah syarikat swasta yang melibatkan tanah seluas kira-kira tiga hektar di Batu Maung di sini.
Beliau menjelaskan bahawa nelayan tidak membantah projek pembangunan tersebut tetapi membantah tindakan pengambilalihan tanah milik LKIM yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan nelayan kerana di situ menempatkan restoran nelayan, pelabuhan dan jeti untuk nelayan mendaratkan ikan.
"Kami nelayan juga bimbang sekiranya projek ini sekali lagi gagal seperti pernah dirancang pada 2006 dan tanah milik LKIM seluas lapan hektar telah tergadai," katanya.
-- BERNAMA
#nelayan pulau pinang #projek tambakan laut #Pen Mutiara #PSR
;