Nelayan nekad terjun sungai selamatkan wanita terperangkap dalam kereta

Bernama
November 15, 2023 19:03 MYT
Kereta mangsa tenggelam ke dasar sungai sebaik dia berjaya diselamatkan. - Gambar/ JBPM
IPOH: Seorang lelaki nekad terjun ke dalam Sungai Beriah di Alor Pongsu dekat Bagan Serai untuk menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap dalam keretanya selepas kenderaannya terbabas ke dalam sungai tersebut.
Mohd Sabri Awang, 56, dari Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak berkata kejadian berlaku kira-kira 6.40 petang semalam semasa beliau dalam perjalanan ke rumah ibunya di sekitar kawasan berhampiran.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd Sabri berkata beliau dimaklumkan terdapat mangsa terperangkap di dalam sebuah kereta yang terbabas ke dalam sungai.
"Saya bersama seorang lagi rakan lelaki secara kebetulan berada di situ bertindak terjun untuk menyelamatkan mangsa yang masih berada dalam kereta itu.
"Kira-kira 10 minit, pintu bahagian penumpang hadapan berjaya dibuka kerana tidak berkunci dan wanita itu dapat dikeluarkan dari keretanya," katanya ketikan dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya ketika diselamatkan, wanita itu tidak tenggelam lagi kerana tindakan pantas orang awam yang menyedari kejadian itu.
Mohd Sabri yang bekerja sebagai nelayan darat berkata mangsa dibawa pulang ke rumahnya terlebih dahulu bagi menenangkan wanita itu yang berada dalam keadaan trauma akibat kejadian tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata mangsa yang berusia 37 dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Gerik.
"Mangsa yang berjaya diselamatkan tidak mengalami sebarang kecederaan namun berada dalam keadaan trauma. Sejurus sahaja mangsa berjaya dikeluarkan kereta mangsa terus tenggelam ke dasar sungai tersebut," katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA
#kereta tenggelam #terperangkap dalam kereta #Sungai Beriah #Alor Pongsu
;