Nelayan minta pihak berkuasa hentikan lombong bauksit
Bernama
Januari 3, 2016 08:43 MYT
Januari 3, 2016 08:43 MYT
"Sudah lama kami tanggung kepayahan akibat kegiatan perlombongan bauksit ini.
"Pendapatan terjejas teruk, tangkapan ikan makin berkurangan, sampai bila ini nak berlarutan?," keluh Che Daud Che Amat, 63.
Nelayan pantai sepenuh masa sejak lebih 10 tahun lalu itu berkata ramai dalam kalangan nelayan pantai sepertinya mengalami kemerosotan besar hasil tangkapan akhir-akhir ini.
"Dahulu kita senang-senang sahaja boleh dapat hasil ikan kembong sehingga 50 kilogram sekali turun ke laut, sekarang nak dapat 10 kg pun susah. Duit minyak pun tak lepas," katanya kepada Bernama, Sabtu.
Menurut Che Daud, keadaan menjadi semakin serius apabila musim tengkujuh baru-baru ini menyebabkan air laut di pesisir pantai terutama Pantai Balok tercemar dengan bahan mineral tersebut.
"Pada musim tengkujuh nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan pesisir sahaja, nak ke tengah laut ombak besar sedangkan kami hanya menggunakan bot fiber yang kecil.
"Tapi bila tangkap ikan di kawasan pesisir, hasil pula tidak seberapa sebab laut sudah tercemar.
"Kalau dahulu pantang diletakkan pancing, ikan kerisi pasti mengena," katanya.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri bertindak agar perlombongan bauksit tidak mengancam mata pencarian nelayan.
Pencemaran bauksit berlaku di sekitar kawasan Bukit Goh, Gebeng, dan Pelabuhan Kuantan.
Mustaffa Ibrahim, 52, berkata jika dahulu beliau mampu memperoleh hasil tangkapan antara RM200 atau RM300 sehari, namun kini sejak laut tercemar pendapatan semakin berkurang sehingga ada ketika pulang dengan tangan kosong.
"Paling teruk sewaktu kejadian laut merah baru-baru ini, pukat saya diselaputi selut. Bila pukat kotor ikan susah nak mengena.
"Mahu atau tidak kami terpaksa pergi ke tengah laut sehingga 20 batu nautika melepasi tempat kapal pengangkut bauksit berlabuh," katanya.
Beliau mendakwa pencemaran laut merah bukan sahaja berlaku di kawasan Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam tetapi juga sepanjang laluan kapal kecil yang membawa bahan mineral itu dari Pelabuhan Kuantan ke kapal pengangkut bauksit.
Kapal itu seterusnya mengangkut bahan mineral itu ke negara pengguna luar.