Nelayan meninggal dunia diserang buaya ketika memeriksa pukat
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Disember 2, 2019 14:00 MYT
Disember 2, 2019 14:00 MYT
Seorang nelayan meninggal dunia selepas diserang oleh seekor buaya ketika memeriksa pukat dan pancing di Sungai Kinabatanga, dekat Kampung Bilit.
Allahyarham, Roslin Kalan, 47, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Duchess of Kent Sandakan kira-kira jam 3.20 pagi, pada Ahad selepas diserang buaya pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, sebelum diserang reptilia itu, mangsa turun ke sungai sekitar pukul 2.40 petang untuk memeriksa pukat dan pancing.
“Ketika sedang memeriksa pukat dan pancing, tiba-tiba kaki kanan mangsa digigit buaya.
“Mangsa, kemudiannya melawan menendang buaya itu menggunakan kaki kiri sehinggalah buaya itu melepaskan gigitan dan mangsa segera berlari naik ke tebing sungai.
“Kemudian, nelayan itu berlari ke jalan raya dan ditemui pengguna jalan raya serta dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sukau lalu diberikan rawatan awal sebelum pulang ke rumahnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut Augustine, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan koyak daging betis kanan akibat kejadian berkenaan.
“Keesokan harinya, anggota JHL menemubual nelayan berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kemudian kami menerima maklumat mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Augustine, susulan kejadian itu, pihaknya memasang papan tanda amaran di lokasi berdekatan dan juga perangkap buaya.