Nelayan maut disambar petir di Port Dickson

Astro Awani
April 20, 2019 21:01 MYT
Siasatan di tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan melecur di bahagian dada. - Gambar hiasan
Seorang nelayan maut disambar petir di Jeti Janakuasa Jimah, Bukit Pelanduk, di sini, dalam kejadian jam 1 tengah hari pada Sabtu.
Mangsa, R. Kannan, 39 tahun, maut di lokasi kejadian selepas terkena panahan petir di bahagian dada ketika berada di atas bot miliknya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada orang awam yang menyaksikannya.
"Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kampung Sawah dan disahkan mati oleh pegawai perubatan. Siasatan di tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan melecur di bahagian dada.
"Rakan mangsa juga mengesahkan melihat mangsa dipanah petir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
#bedah siasat #Bukit Pelanduk #mangsa #mati mengejut #maut #mayat #melecur #Mohd Faisal Mohd Noor #nelayan #petir #Port Dickson
;