Nelayan Malaysia ditahan di Indonesia tiba di tanah air
Bernama
Februari 16, 2018 20:40 MYT
Februari 16, 2018 20:40 MYT
Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini amat bermakna bagi nelayan, Low Siang Huat, yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak setahun lepas, apabila tiba di tanah air hari ini.
Low, 59, yang berasal dari Pulau Ketam, Selangor, ditahan sejak 16 Feb tahun lepas setelah dipercayai menceroboh perairan negara itu dan dibebaskan oleh pihak berkuasa negara itu semalam.
Katanya beliau amat gembira dan bersyukur kerana dapat kembali ke tanah air dan berjumpa semula dengan anggota keluarganya.
"Keadaan di sana semua okay...saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dengan inisiatif dan keprihatinan dalam rundingan dengan kerajaan Indonesia, akhirnya (saya) berhasil (dibebaskan)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketibaan Low pada 2.20 petang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, dekat sini, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam disambut oleh anggota keluarganya, anggota Persatuan Nelayan Negeri Selangor dan wakil Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Selangor.
Sementara itu, menantunya, Teng Poon Loy, 37, berkata kepulangan Low amat dinanti-nantikan keluarganya selepas setahun ditahan di Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang.
Katanya beliau melawat Low sebanyak tujuh kali ketika ditahan di sana dan kali terakhir mengunjunginya di sana pada September lepas.
"Ini hadiah paling besar bagi kami pada Tahun Baharu Cina...kami merancang untuk mengadakan acara tradisi 'makan besar' malam ini bagi meraikan hari bersejarah ini," katanya.
Selain Low, lima nelayan yang masih ditahan di Indonesia iaitu Chia Kee Chan, 52, yang ditahan di Rumah Tahanan Negara Labuhan Deli, Medan, Kamaruzaman Awi, 47 dan Abdul Rashid Nik, 53 (ditahan di Pengkalan Penguatkuasa Laut Indonesia di Lanal Terempe, Riau), Mahabob Hasimat, 55 (ditahan di Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang) dan Leong Biang Seng, 61 (Penjara Batam).
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata pembebasan Low adalah atas kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak pada November lepas.
" Pada masa ini terdapat lima lagi nelayan dalam tahanan pihak Indonesia. Satu mesyuarat berhubung pembebasan nelayan telah diadakan di antara Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti pada 11 Jan lepas.
"Pihak Indonesia telah memberi jaminan bahawa kesemua nelayan Malaysia yang ditahan di negara itu akan dibebaskan secara berperingkat mulai Februari 2018," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#ditahan
#Indonesia
#Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz
#Low Siang Huat
#nelayan
#Subang
#Teng Poon Loy