LUMUT: Seorang nelayan ditemui lemas selepas terjatuh daripada kayak kecil yang dinaikinya ketika sedang menangkap ketam di perairan Pulau Pangkor dekat sini pada pagi Sabtu.

Mangsa, Zulkefly Mohamad Zamri, 35, dipercayai lemas di perairan berkenaan yang berhampiran dengan sebuah pelantar di Kampung Masjid Pulau Pangkor.

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, saksi awam memberitahu bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam air dan tidak timbul selepas kira-kira lima minit.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan sekitar jam 9.30 pagi sebelum sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Operasi menyelamat yang turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pangkor serta penduduk setempat berjaya menemui mayat mangsa kira-kira jam 9.45 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan penduduk tempatan dan tiada sebarang unsur jenayah berlaku di lokasi kejadian.

“Mangsa didapati mempunyai sejarah penyakit sawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Manjung untuk dibedah siasat sementara ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Shah Al Haffiz Mohd Redzuan berkata unit penyelam telah melakukan teknik ‘surface searching' atau pencarian di permukaan air di sekitar lokasi kejadian bagi mencari mangsa.

“Pada mulanya pasukan menggunakan kaedah surface searching. Kemudiannya menggunakan teknik ‘skin dive’ ataupun terjun ke dasar sebelum berjaya menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, mayat mangsa ditemui sekitar 20 meter dari jeti berhampiran.