Nelayan lega kerajaan persekutuan tegas tangani isu tambak laut

Bernama
Ogos 27, 2017 17:09 MYT
Dr Hilmi berkata Perdana Menteri sendiri menyedari zon yang disasarkan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang itu kaya dengan sumber laut.
Ketegasan kerajaan persekutuan dalam menangani isu tambak laut di negeri ini telah memberikan kelegaan besar kepada penduduk di sini khususnya golongan nelayan, kata Anggota Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya hari ini.
Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata pendirian tidak menyokong projek tambakan laut itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan prihatin dengan nasib lebih 1,500 nelayan dan keluarga mereka yang bergantung rezeki kepada hasil laut di kawasan tersebut.
"Bayangkan, perairan di selatan negeri ini yang merupakan tempat mereka mencari rezeki tanpa mengira musim sepanjang tahun dan kaya dengan hasil laut tiba-tiba hendak dihapuskan. Ini perkara yang tidak masuk akal dan tidak wajar dipertimbangkan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Semalam, ketika berucap dalam Majlis Jamuan Rakyat di sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan persekutuan tidak akan menyokong projek tambakan laut di Pulau Pinang sekiranya ia akan memberi kerugian yang besar sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat di kawasan terlibat.
Dr Hilmi berkata Perdana Menteri sendiri menyedari zon yang disasarkan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang itu kaya dengan sumber laut dan cadangan tersebut akan menjejaskan punca pendapatan serta memberi pelbagai impak negatif yang berpanjangan.
Beliau berkata dasar kerajaan DAP Pulau Pinang gagal mengambil kira kepentingan penduduk sebaliknya meletakkan faktor-faktor lain sebagai keutamaan.
"Ternyata mereka tidak sensitif dengan keperluan rakyat dan tidak mampu membuat perancangan yang baik. Jika kepentingan rakyat menjadi keutamaan DAP, tentu sekali mereka langsung tidak akan menimbangkan cadangan ini," katanya.
Beliau berkata perkara itu berbeza dengan pengalaman Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri Pulau Pinang sebelum ini kerana BN meletakkan masa depan dan kepentingan semua pihak sebagai matlamat.
"Oleh kerana itulah perancangan yang heboh diperkatakan hari ini tidak pernah kita dengar pun sebelum ini.
"Saya menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang untuk bersikap lebih sensitif dan tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk mengemukakan sebarang projek tanpa mempedulikan pihak lain khususnya rakyat negeri ini," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di daerah Barat Daya yang bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
-- BERNAMA
#DAP #Hilmi Yahaya #pulau pinang #tambak laut
;