Nelayan jumpa mayat tanpa kepala ketika menjala ikan di Lundu

Bernama
Disember 26, 2015 16:04 MYT
Kejadian mengejutkan itu berlaku sekitar jam 9.30 pagi ketika anak beranak itu mahu menjala ikan di sungai. - Gambar hiasan
Keterujaan seorang nelayan dan anak lelakinya untuk memperoleh hasil tangkapan yang banyak bertukar sebaliknya apabila menemui satu mayat tanpa kepala ketika menjala ikan di Sungai Kampung Pandan dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Mat Muda Dillah, 54, dan anaknya mengambil keputusan untuk menjala apabila melihat banyak ikan di sungai itu yang terletak berhampiran dengan Pantai Pandan, lokasi nelayan di kampung itu meletakkan bot mereka.
"Saya balik semula ke rumah mengambil jala. Saya memang rasa pelik lihat banyak ikan di sungai tersebut, hasil tangkapan pun banyak, adalah dapat kira-kira dua kilogram ikan.
"Tapi ketika menjala tiba-tiba saya nampak ada satu mayat tanpa kepala terapung," katanya kepada Bernama.
Mat Muda kemudiannya bertindak membuang hasil tangkapan itu dan menyuruh anaknya segera pulang ke rumah mengambil telefon serta menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan mayat berkenaan.
Sementara itu, anggota polis di Balai Polis Lundu mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan berkata mayat dihantar ke Hospital Lundu untuk bedah siasat bagi menentukan jantina dan punca kematian.
#Lundu #Mayat tanpa kepala #menjala ikan
;