Nelayan jumpa mayat reput dalam bekas polisterin
Astro Awani
September 6, 2016 22:50 MYT
September 6, 2016 22:50 MYT
Misteri bau busuk dari sebuah kotak polisterin di tepi pantai terjawab dengan penemuan mayat reput yang dibalut dengan plastik.
Mayat ditemui sekumpulan lelaki di kawasan pantai Pulau Tenggol di sini selepas selesai melakukan aktiviti snorkeling.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi memaklumkan kumpulan lelaki itu menghubungi polis dan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Kata Ahmad Zailani, pihaknya kemudian menghantar sebuah bot untuk membawa mayat mangsa ke jeti Seberang Pintasan di sini.
Setakat ini, tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mangsa.
Menurutnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu lalu .
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Menurut Ahmad Zailani, pihaknya masih menunggu laporan pegawai perubatan sebelum mengklasifikasikan kes terbabit.