Nelayan jatuh laut ditemukan maut di Sungai Burung

Aida Aziz
Julai 27, 2024 15:06 MYT
Mangsa dijumpai nelayan setempat pada jarak 1.5 batu nautika barat muara Sungai Burung, semalam. - Gambar/ Maritim Malaysia
LUMUT: Seorang nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan memasuki jeti, pada jarak dua batu nautika dari muara Sungai Burung di sini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Heng Swee Pau, 46, yang dilapor hilang pada Khamis, dijumpai nelayan setempat pada jarak 1.5 batu nautika barat muara Sungai Burung, semalam.
Katanya, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima maklumat seorang nelayan dipercayai jatuh bot akibat laut yang bergelora.
"Operasi Carilamat diaktifkan dengan penglibatan aset dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta nelayan setempat.
"Pangkalan Hadapan carilamat (PHC) juga ditubuhkan di jeti nelayan Sungai Burung.
"Sekitar jam 9 pagi semalam, mangsa ditemui maut dan dibawa ke jeti nelayan Sungai Burung bagi pengecaman oleh waris, lalu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut, khususnya ketika cuaca dan keadaan laut tidak menentu.
#Nelayan lemas #lumut #Maritim Malaysia
;