GEORGE TOWN: Seorang nelayan yang terjatuh ke dalam laut semasa memukat ikan bersama rakannya ditemui lemas di perairan Pulau Jerejak, Pulau Pinang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang (APMM) Kepten Abd Razak Mohamed berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Rajendran, 56, dijumpai dalam keadaan terapung berhampiran bot kira-kira jam 3.15 petang Ahad.

Menurut Abd Razak, pihaknya telah menerima panggilan telefon dari Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 berhubung kejadian seorang nelayan terjatuh dari bot dan disyaki lemas semasa memukat ikan bersama rakan.

Sebaik menerima laporan, bot KILAT 26 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan mencari dan menyelamat (Carilamat).

"Setibanya di lokasi kejadian, anggota KILAT 26 menemui mangsa terapung dipercayai telah meninggal dunia berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya.

Rakan mangsa, Murugan yang juga saksi kejadian memaklumkan, mangsa Rajendran, terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit di pukat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mayat mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Perai sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh pasukan St John Ambulans.


Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan apa jua aktiviti semasa berada di laut .

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.