Nelayan hilang mungkin hanyut ke Indonesia - Maritim Malaysia
Bernama
Januari 18, 2025 16:45 MYT
Januari 18, 2025 16:45 MYT
MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan di sini sejak Rabu lepas diperluaskan kepada 1,372 kilometer persegi, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata operasi pencarian yang memasuki hari ketiga itu membabitkan enam aset laut serta satu aset udara dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).
"Berdasarkan analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS) terdapat kemungkinan mangsa sudah dihanyutkan ke perairan negara jiran. Justeru, Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya sudah memohon bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia bagi membantu mengesan kedua-dua mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau seterusnya berkata setakat ini operasi berkenaan melibatkan 54 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Media sebelum ini melaporkan Muarep Sakem, 63, dan Rosenizam Maharam, 50, hilang ketika memukat ikan pada Rabu lepas.
Kehilangan mereka hanya disedari semalam, seterusnya menyebabkan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta-merta.
Satu pangkalan hadapan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dibuka di Jeti Nelayan Muara Sungai Duyong, Padang Temu di sini dengan operasi turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan.
-- BERNAMA