Nelayan hilang mata pencarian akibat pencerobohan bot pukat tunda

Adie Sufian Zulkefli
November 25, 2021 17:42 MYT
Sekumpulan nelayan pesisir pantai Kuala Perlis mengadakan demonstrasi secara aman di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Negeri (LKIN) Perlis pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
KUALA PERLIS: Kira-kira 3,000 nelayan pesisir pantai di Kuala Perlis hilang mata pencarian mereka selepas zon tangkapan mereka diceroboh bot pukat tunda.
Menurut nelayan di situ, aktiviti pencerobohan bot pukat tunda siput retak seribu serta penangkapan hasil laut tidak terkawal yang berleluasa di pesisir pantai Kuala Perlis mengakibatkan hasil tangkapan mereka merosot lebih 50 peratus.
Nelayan Mat Sabu mendakwa, aktiviti pencerobohan ini dipercayai dilakukan nelayan dari Kuala Kerpan Kedah, Bukit Malut Langkawi dan Thailand.
Katanya, aktiviti ini turut mengakibatkan kemusnahan ekosistem tukun ikan yang berada di sepanjang pesisir pantai.
“(Kalau) keluar (ke laut) tak berbaloi, keluar duit minyak RM50, balik (dapat) RM20… untuk anak sekolah belanja, nak makan lagi… dari mana depa (nelayan) nak ambil?” luah nelayan berusia 73 tahun itu.
Nada sama disuarakan, Rozain Abdul Rashid, 53, yang meluahkan rasa kecewa kerana pendapatan golongan nelayan sepertinya menurun mendadak.
Kata Rozain, sebelum ini, pendapatan seharian mereka boleh mencecah RM400 sehari, namun kini, hanya memperoleh kurang daripada RM100.
Bahkan, jelasnya, ada masanya nelayan pulang hampa tanpa sebarang hasil tangkapan.
“Sekarang ini duduk rumah sajalah… nak buat macam mana, hasil tiada, jadi kami minta pihak penguatkuasa perketat (tindakan) sebab dulu sudah diharamkan, sekarang kami tak tahu macam mana aktiviti itu boleh dijalankan balik di sini.
“(Kami) minta sangat pihak-pihak berkenaan ambil tindakan, kasihan pada nelayan di pantai ini,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris) Jasni Hashim, meminta pihak bertanggungjawab supaya tidak terlepas pandang dan ambil cakna rintihan nelayan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.
“Dalam isu ini, nelayan minta bot pukat tunda siput retak seribu diharamkan, dari dulu tidak pernah keluar lesen pun di negeri Perlis. Ia menyebabkan ekosistem rosak di mana nelayan terjejas pendapatan, terjejas daripada kedudukan hasil tangkapan… ada yang balik kosong (tiada hasil) dan kalau ada pun tidak dapat menampung kos perbelanjaan minyak,” katanya.
Tidak tahan dengan permasalahan itu sekumpulan nelayan ini telah mengadakan demonstrasi secara aman di kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Negeri (LKIN) menuntut pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut mengambil tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Rintihan mereka turut dipanjangkan ke pengetahuan Ahli Dewan Undangan Kuala Perlis, Azam Karap yang berjanji akan membawa permasalahan nelayan ini kepada pihak berwajib supaya menghentikan terus pencerobohan bot pukat tunda ini.
#nelayan Kuala Perlis #pencerobohan bot pukat tunda #bot pukat tunda siput retak seribu #Nelayan Pesisir Pantai
;