Nelayan hilang ditemui lemas selepas dipanah petir

Bernama
Januari 18, 2016 20:16 MYT
Mangsa ditemui oleh pasukan gerakan mencari dan menyelamat kira-kira 4.50 petang Isnin. - Gambar hiasan
Seorang nelayan terjatuh ke dalam laut selepas dipercayai dipanah petir berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang dekat Batu Pahat, ditemui lemas hari ini.
Ketua Penguatkuasa Maritim Pangkalan Maritim Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata mangsa Ng Young Ching, 21, ditemui oleh pasukan gerakan mencari dan menyelamat kira-kira 4.50 petang tadi.
"Mayat Young Ching ditemui kira-kira 1.5 batu nautika dari tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke jeti Sungai Ayam untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, Young Ching, dilaporkan hilang apabila dipercayai dipanah petir dan jatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan pulang ke Pangkalan Nelayan Sungai Ayam selepas menjaring ikan berikutan hujan lebat disusuli angin kencang serta ribut petir.
Selepas dentuman kilat, rakan Young Ching yang juga saksi kejadian, Go Swee Heng, 37, yang menaiki bot berasingan hanya melihat bot Young Ching terapung-apung tanpa kelibat mangsa.
Swee Heng kemudian membawa bot itu ke pangkalan dan memaklumkan kejadian kepada bapa Young Ching, Ng Ban Swee, 59, sebelum Ban Swee melaporkan kepada pihak berkuasa.
#mati lemas #nelayan #petir