Nelayan hilang di perairan Lambidan dikhuatiri lemas
Bernama
Januari 4, 2022 05:31 MYT
Januari 4, 2022 05:31 MYT
LABUAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang ketika pergi memukat ikan di perairan Lambidan, Menumbok, Sabah.
Sarizal Salleh, 39, dikhuatiri lemas apabila anggota keluarganya menyedari dia tidak pulang ke rumah sejak Isnin.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkaa pihaknya telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik sahaja menerima laporan kehilangan lelaki itu pada 10 pagi Isnin.
"Lelaki tersebut dikatakan telah keluar untuk memukat ikan pada kira-kira pukul 6 pagi di pinggir pantai Lambidan, namun dia tidak pulang ke rumah selepas beberapa jam dan ahli keluarganya telah membuat laporan polis pada hari yang sama," katanya semalam.
Turut terlibat dalam operasi itu ialah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Angkatan Pertahanan Awam serta dibantu penduduk setempat dan setakat 5 petang ini, operasi itu masih berjalan.
-- BERNAMA