Nelayan hilang, bot ditemukan hanyut di perairan Pulau Redang
Bernama
Julai 10, 2016 18:28 MYT
Julai 10, 2016 18:28 MYT
Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan di sekitar perairan Pulau Redang, semalam.
Baharuddin Muhamod, 58, dilaporkan keluar menangkap ikan seorang diri kira-kira 9 pagi semalam namun sehingga petang gagal pulang ke rumah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Suffian Sulaiman berkata pada 2.30 petang isterinya menghubungi mangsa menerusi telefon bimbit namun tiada jawapan.
Katanya dua jam selepas itu anaknya memaklumkan menemukan bot kayu milik ayahnya yang hanyut berhampiran perairan Pulau Redang namun bapanya tiada di dalam bot tersebut.
"Bimbang dengan keselamatan mangsa dan penemuan bot tanpa pemiliknya itu anggota keluarganya membuat laporan polis pada 5 petang semalam.
"Sejurus menerima maklumat, gerakan mencari mangsa dilancarkan di kawasan sekitar namun gagal mengesan mangsa sebelum operasi diteruskan pagi tadi.
Difahamkan kebiasaannya mangsa akan pulang selepas waktu zohor namun semalam sehingga 5 petang mangsa masih tidak pulang ke rumahnya di Kampung Baru Pulau Redang.
Suffian berkata 35 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Taman Laut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam.
"SAR kemudian ditangguhkan pada 7.30 malam semalam dan bersambung hari ini, SAR bermula 9 pagi membabitkan 19 orang termasuk anggota PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Taman Laut, JPAM dan penduduk," katanya.
Menurutnya lokasi pencarian merangkumi kawasan unjam berhampiran lokasi bot ditemukan dan lima bot nelayan turut menyertai operasi tersebut.