Nelayan dua beradik hilang di laut: Operasi pencarian diteruskan
Astro Awani
Disember 10, 2019 11:46 MYT
Disember 10, 2019 11:46 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan dua beradik yang hilang di laut sejak Jumaat lalu masih diteruskan hari ini.
Timbalan Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Noraazmi, berkata, setakat ini belum ada sebarang petunjuk dan mangsa masih belum ditemui.
Mangsa, Ng Guo Tong, 34 tahun, bersama abangnya Ng Guo Xian, 44 tahun, dikatakan keluar memancing menggunakan bot sendiri pada Jumaat dan sepatutnya pulang pada petang hari sama.
Namun, sehingga kini mereka tidak kelihatan dan gagal dihubungi.
Hairilizhar berkata, operasi hari ini diteruskan jam 7 pagi membabitkan pelbagai aset termasuk dua bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Bot Kilat 7 dan Kilat 26.
Operasi turut dibantu satu bot Nadma 18 dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan, satu bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) serta beberapa bot nelayan tempatan.
Operasi hari ini dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan kira-kira 364 batu nautika persegi.
"Keadaan laut agak bergelora dan sedikit berangin, tetapi hujan kurang, cuma angin yang kencang di laut," kata Hairilizhar.
#APMM
#bot
#dua beradik
#Hairilizhar Noraazmi
#hilang
#Kedah
#Kuala Kedah
#Maritim Malaysia
#nelayan
#operasi