Nelayan dua beradik dikhuatiri lemas perahu dipukul ribut
Adie Sufian Zulkefli
Jun 6, 2023 17:41 MYT
Jun 6, 2023 17:41 MYT
ALOR SETAR: Dua beradik yang juga nelayan dikhuatiri lemas selepas perahu mereka dipercayai terbalik akibat dipukul ribut di perairan Kuala Sala, di sini, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan dari Balai Polis Kota Sarang Semut melaporkan kejadian itu, selepas dimaklumkan oleh seorang saudara mangsa pada jam 4.45 pagi.
Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi kemudian mengaktifkan Operasi CARILAMAT pada 1.30 tengah hari dan mengatur gerak bot PERKASA 1224.
"Dalam kejadian pagi tadi, dua buah perahu yang berpangkalan di Kuala Sala yang dinaiki tiga bersaudara itu keluar ke laut untuk memukat udang sebelum dibadai ribut, menyebabkan salah sebuah perahu itu terdampar di pantai, manakala sebuah lagi perahu yang dinaiki dua beradik itu ditemui terapung di laut oleh nelayan tempatan.
"Dua beradik terbabit, Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan Tajuddin, 41, berasal dari Kuala Sala masih hilang dan dikhuatiri lemas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti berkata, setakat ini usaha mengesan mangsa turut disertai agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.