Nelayan disaran pasang AIS untuk rekod kedudukan bot
Bernama
November 4, 2018 05:23 MYT
November 4, 2018 05:23 MYT
Bot nelayan tempatan disarankan memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) yang dapat membantu menjelaskan kedudukan sebenar mereka, jika berlaku kekeliruan berhubung perkara itu.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata alat itu amat berguna jika berlaku kejadian mereka ditangkap penguatkuasa negara jiran sedangkan masih berada dalam perairan negara.
"AIS akan merekodkan setiap pergerakan bot... namun ada nelayan kita yang tidak membawa atau tidak memasang AIS semasa ke laut dan apabila ditangkap penguatkuasa negara jiran, tiada rekod mereka tidak melebihi sempadan negara," katanya.
Zulkifli menambah tindakan penguatkuasa negara jiran dalam menahan bot nelayan tempatan adalah sebagai langkah membanteras kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah.
Pada perkembangan lain, Zulkifli mahu supaya semua kakitangan Maritim Malaysia memastikan berat badan mereka berada di tahap baik bagi memudahkan tugasan di lapangan.
"Kita tidak mahu mereka obes kerana ia akan menyukarkan pergerakan misalnya jika kapal yang diserbu itu mempunyai pintu yang kecil atau tangga yang agak curam dan berlaku situasi kecemasan yang memerlukan mereka untuk segera keluar.
"Jika kita mempunyai kapal yang besar dan boleh belayar selama dua atau tiga minggu, anggota yang bertugas juga diharapkan tidak mudah sakit kerana kos untuk menghantar pulang mereka yang sakit adalah mahal," katanya.
-- BERNAMA
#ais
#APMM
#belayar
#berat badan
#bot nelayan
#Dadah
#jenayah
#kapal
#Maritim Malaysia
#nelayan
#penyeludupan
#perairan negara
#sakit
#sistem pengesanan automatik
#Zulkifli Abu Bakar