Nelayan dikhuatiri lemas, bot dipukul ombak
Nur Fazlizai Ali
September 21, 2021 05:57 MYT
September 21, 2021 05:57 MYT
DUNGUN: Seorang nelayan terselamat manakala rakannya dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Kuala Dungun, Terengganu pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 petang itu, Mohd Irahim, 63, berjaya diselamatkan tekong bot sementara Mohd Noor Mamat, 67, hilang dihanyutkan ombak.
Menurut tekong bot, Mahadi brahim, 56, bot gentian kaca yang dikemudiannya hampir tenggelam dibadai ombak besar sejurus memasuki perairan Kuala Dungun.
"Ketika kejadian, ombak datang dari arah belakang dan dia (Mohd Noor) terus meluncur ke dalam air.
"Saya terus berpatah balik untuk selamatkan dia tetapi sudah terlambat, dia dihanyutkan ombak," katanya.
Sementara itu, Mohamad Ibrahim berkata, dia dan mangsa sedang duduk di atas tong menyimpan ikan sebelum terhumban ke laut.
"Saya berenang bersama dia namun lama-lama dia semakin jauh," katanya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Baharudin Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat disertai kira-kira 50 anggota dan pegawai pelbagai agensi digerakan sejurus menerima laporan.
"Kalau kita tengok keadaan cuaca , kita tengok ombak pada petang ini, agak tinggi, setinggi setengah meter.
"Kita percaya mangsa berkemungkinan dihanyutkan ke kawasan persisir pantai Marang," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung pagi Rabu dengan kawasan pencarian diperluaskan di kawasan perairan Dungun.