Nelayan dikhuatiri lemas akibat bot karam di Bagan Datuk, ditemukan maut
Aida Aziz
Oktober 11, 2023 19:30 MYT
Oktober 11, 2023 19:30 MYT
IPOH: Nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam di Kampung Pasang Api, dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk awal pagi tadi, ditemukan maut petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Amir Hamzah Shaari, 55.
Katanya, mangsa dijumpai pada jam 5.20 petang pada jarak sekitar 400 meter dari lokasi bot karam.
"Pencarian diteruskan sehingga tiga kilometer ke arah muara laut dan lima kilometer ke arah Teluk Intan.
"Agensi yang terlibat ialah Unit Pengesan K9, JBPM Perak (dua bot), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (satu bot) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (dua bot).
"Mangsa yang ditemui meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan, seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam di Kampung Pasang Api, dekat Hutan Melintang pagi tadi.
Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada 1.12 pagi sebelum mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian.