Nelayan dikhuatiri lemas

Sinar Harian
September 22, 2021 05:30 MYT
Bot milik mangsa dibawa ke Jeti Kuala Lukut. -Foto Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson
PORT DICKSON: Seorang nelayan warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut susulan hanya bot miliknya ditemui berhampiran Jeti Kuala Lukut di sini oleh nelayan lain pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Penolong Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang dan bergegas ke lokasi.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu dari BBP Telok Kemang dan BBP Jempol selain beberapa agensi lain antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Maklumat awal daripada seorang nelayan yang keluar menangkap ikan, dia menjumpai sebuah bot tanpa ada sesiapa iaitu pemiliknya dipercayai terjatuh ke dalam laut pada jam 12.30 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, mangsa merupakan lelaki berbangsa Cina berusia 64 tahun dipercayai lemas dan usaha mencari dan menyelamatkan mangsa giat dilakukan sehingga jam 7 malam.
"Seramai 36 anggota dengan lapan pegawai sedang menjalankan operasi mencari mangsa dengan dibantu beberapa nelayan di permukaan air malah pencarian diteruskan daripada arah muara Sungai Lukut," katanya.
Dalam pada itu,jelasnya seramai 10 anggota bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan menggunakan bot penyelamat dengan membuat pencarian di lokasi mangsa memasang jaring dan pihaknya difahamkan mangsa memakai baju warna biru.
"Operasi ditangguhkan susulan keadaan laut agak bergelora pada jam 7 malam dan operasi akan disambung semula pada jam 6.30 pagi Khamis," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Nelayan lemas #terjatuh ke dalam laut #Jeti Kuala Lukut #Mohd Hairul Izam Mazelan
;