Nelayan dikhuatiri hilang selepas terjun ketika dikejar Maritim Malaysia

Adie Sufian Zulkefli
Julai 10, 2024 11:10 MYT
Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang juga nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun ke laut ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot pada kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada pukul 9.50 malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 telah mengesan bot nelayan tempatan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Berikutan itu, bot ronda Maritim Malaysia merapati bot terbabit kerana mengesyaki bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangguk siput.
“Namun, tekong bot terbabit bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan negeri Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa. Semasa aksi kejar buru, seorang awak-awak di dalam bot itu telah bertindak terjun ke laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian itu.
Susulan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 telah ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.
Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan setempat.
#nelayan hilang #Maritim Malaysia #operasi carilamat #bot ronda
;