Nelayan dikhuatiri hilang, jatuh dari bot karam
Aida Aziz
September 18, 2022 11:55 MYT
September 18, 2022 11:55 MYT
BAGAN DATUK: Seorang lelaki berusia 57 tahun dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh setelah bot yang dinaiki karam di muara Sungai Bernam, Sungai Lipas, di sini semalam.
Difahamkan, ketika kejadian lelaki tersebut merupakan seorang nelayan yang mahu bergerak balik ke daratan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.55 pagi pada Sabtu.
Katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang ditugaskan untuk membantu pihak polis bagi operasi mencari mangsa.
"Pihak bomba menerima maklumat daripada pihak polis yang memohon bantuan mencari mangsa hilang di laut dengan anggaran jarak 1 batu nautika," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya lagi, operasi pencarian diteruskan pagi ini dengan kekuatan seramai 27 anggota.
Ia terdiri daripada JBPM (11), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (6) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) (10).
Operasi itu membabitkan lapan buah bot iaitu JBPM (3), APMM (2), APM (1), polis (1) dan orang awam (1), dan diketuai oleh TPgB A. Ravi (Zon Tapah).