Nelayan diculik di lokasi tiada pos kawalan keselamatan - Ketua Menteri Sabah
Ruzaini Zulkepli
September 23, 2019 05:11 MYT
September 23, 2019 05:11 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan tiga nelayan warga Indonesia diculik di perairan Lahad Datu pada pagi Isnin.
Katanya, laporan awal yang diterima pihaknya memaklumkan, kesemua mangsa difahamkan diculik kira-kira jam 11.58 pagi.
Menurutnya, mangsa-mangsa tersebut turut dipercayai dibawa ke kawasan Tawi-Tawi, di selatan Filipina.
"Saya difahamkan ia membabitkan penculikan nelayan. Nelayan ini berasal dari Indonesia, dari suku kaum Butun. Kita akan pastikan. Difahamkan mereka dibawa ke Tawi-Tawi.
"Namun demikian, kita akan melihat kedudukan sebenar. Saya akan mendapat maklumat terperinci tentang kedudukan sebenar," katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri resepsi ulang tahun ke-74 hari kemerdekaan Republik Indonesia, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, lokasi kejadian difahamkan berlaku di kawasan perairan berhampiran Pulau Tambisan, Lahad Datu, yang mana pernah berlaku kejadian serupa tidak lama dahulu.
Namun, tambahnya, kawasan itu dipercayai tidak mempunyai pos kawalan keselamatan.
Mohd Shafie dipercayai merujuk kepada kes 10 nelayan diculik kumpulan militan di perairan Tambisan, Lahad Datu, pada Jun lalu.
Sementara itu, dalam majlis sama, Konsul Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Krishna Djelani, ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan, tidak dapat memberi sebarang ulasan kerana masih belum menerima maklumat penuh berhubung insiden itu.
#culik
#Filipina
#Indonesia
#keselamatan
#Kota Kinabalu
#Lahad Datu
#mangsa
#militan
#Mohd Shafie Apdal
#nelayan
#pos kawalan
#Pulau Tambisan
#Tawi-Tawi