Nelayan di Sabah tetap turun ke laut, siap sedia ancaman taufan Rosita
Fifi Harteeny Marzuki
Oktober 29, 2018 16:54 MYT
Oktober 29, 2018 16:54 MYT
Sebahagian nelayan di daerah ini masih turun ke laut walaupun amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai taufan Rosita yang dijangka menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah.
Penjaga kapal nelayan, Mustapha Ambulleh, 31 tahun, berkata mereka juga telah dimaklumkan mengenai amaran taufan itu semalam dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan memantau perkembangan cuaca semasa menerusi aplikasi 'Mycuaca'.
Tambahnya, terdapat juga sebahagian nelayan memberhentikan seketika aktiviti di laut untuk beberapa hari akibat 'takut' dengan amaran yang dikeluarkan oleh MET semalam.
"Terdapat sebahagian nelayan sini yang masih turun ke laut hari ini. Namun, ada juga sebahagian nelayan yang khuatir dengan amaran taufan itu berhenti untuk beberapa hari daripada menjalankan aktiviti menangkap ikan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Jeti Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha turut menyatakan bahawa harga ikan di pasaran akan meningkat naik jika hasil tangkapan para nelayan terjejas akibat kesan daripada cuaca yang tidak menentu.
"Jika dilihat di daerah ini, harga ikan akan turun naik bergantung kepada hasil tangkapan para nelayan. Jika hari ini hasil tangkapan lumayan, harga ikan tidak akan naiklah.
"Walaubagaimana pun, dengan amaran taufan yang dikeluarkan akan menjejaskan kuantiti hasil tangkapan sekali gus harga ikan akan meningkat naik,"katanya.
Bagi pekerja SAFMA, Saleh Samson, 35, amaran taufan Rosita yang dikeluarkan semalam tidak menjejaskan rezeki para nelayan untuk turun ke laut seawal jam 4 pagi.
Menurutnya, kemungkinan besar juga para nelayan akan berhenti turun ke laut pada esok hari bergantung kepada keadaan air laut semasa serta perkembangan cuaca terkini.
"Kita akan lihat dahulu keadaan air laut malam ini, jika bergelora dan berombak besar kemungkinan esok atau lusa para nelayan akan berhenti untuk turun ke laut," katanya.
Sementara itu, tinjauan Astro Awani ke sekitar Perlabuhan Pasar Besar Kota Kinabalu dan Jeti Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA) di sini mendapati sebahagian besar bilangan nelayan masih turun ke laut walaupun amaran dikeluarkan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis nasihat Taufan Rosita yang kini berada kira-kira 939 kilometer ke timur laut Manila, Filipina dan sedang bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam.
Pergerakan taufan itu dijangka menyebakan angin kencang di kawasan peraiaran Sabah.