Nelayan cuba selamat bot hanyut dikhuatiri lemas
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 2, 2017 22:36 MYT
Oktober 2, 2017 22:36 MYT
Seorang nelayan muda dikhuatiri lemas di perairan Parit Keroma Laut, di sini, sekitar 3 petang tadi ketika sedang mendirikan pondok kupang.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata mangsa Muaz Abdul Mutalib, 20, dipercayai terjatuh ke dalam laut semasa sedang cuba menyelamatkan botnya yang dihanyutkan arus ketika kejadian.
Katanya, gerakan mencari mangsa dilakukan pihaknya sejurus menerima laporan daripada bapa mangsa.
"Setelah menerima laporan sekitar 3.30 petang tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dan mangsa dikatakan tidak berbaju sewaktu terjatuh.
"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan untuk menjalankan operasi SAR serta dibantu oleh sebuah bot Pasukan Polis Marin dan beberapa bot milik penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Muhammad Zulkarnain mengingatkan masyarakat yang keluar ke laut untuk pelbagai tujuan agar sentiasa mementingkan soal keselamatan.
Tegasnya, peralatan wajib seperti jaket keselamatan perlu sentiasa diperiksa sebelum memulakan aktiviti agar berada dalam keadaan baik dan dipakai bagi mengelak perkara tidak diingini lebih - lebih lagi yang boleh mengakibatkan kemalangan jiwa.
#lemas
#Maritim Malaysia
#Muaz Abdul Mutalib
#muhammad zulkarnain abdullah
#nelayan
#Pangkalan Batu Pahat