Nelayan boleh mohon bantuan jika bot dan peralatan tangkapan rosak akibat banjir
Hafizi Rosli
Disember 26, 2022 13:09 MYT
Disember 26, 2022 13:09 MYT
TUMPAT: Nelayan-nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negara boleh memohon bantuan kerosakan sekiranya ada bot dan peralatan tangkapan rosak susulan banjir yang melanda.
Jelas Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman, terdapat peruntukan dalam Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bagi membela nasib dan kebajikan mereka yang dilanda musibah.
Bantuan ini juga termasuk kepada usahawan pemprosesan hasil perikanan dan akuakultur.
“Kepada nelayan dan usahawan yang terjejas, sila buat laporan polis terlebih dahulu, selepas itu laporkan kepada LKIM dan kami akan panjangkan ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Cuma saya nak maklumkan, hanya nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan dan LKIM yang boleh berbuat demikian dan kita akan membantu untuk memberi bantuan peralatan yang rosak,” jelasnya ketika ditemubual di Komplek LKIM, Tumpat.
Menurutnya ketika ini 90,000 nelayan sudah berdaftar dengan LKIM manakala 30,000 nelayan lain belum berbuat demikian.
Jelasnya, terdapat banyak kemudahan dan kebaikan jika mendaftar dengan LKIM termasuk layak mendapatkan elaun sara hidup dan subsidi diesel serta petrol.
“Banyak kebaikan sekiranya nelayan berdaftar, mereka boleh dapat elaun kos sara hidup sebanyak RM300 setiap bulan, subsidi diesel dan petrol dengan harga RM1.65.
“Antara lain mereka juga boleh membuat pijaman tanpa faedah, program perumahan dan banyak lagi. Jadi berdaftarlah segera,” katanya.
Pendaftaran ini juga penting supaya LKIM dapat mengumpul data dan memastikan nasib mereka terbela sekiranya dilanda musibah.