Nelayan berarak di laut semarakkan Hari Kebangsaan

Bernama
Ogos 30, 2022 15:55 MYT
50 nelayan dari Unit Nelayan Sungai Gelugor berarak dengan 40 buah bot nelayan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Sebanyak 40 sampan nelayan mengadakan perarakan mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar perairan Jeti Sungai Gelugor ke Pulau Kazambo berhampiran Jambatan Pulau Pinang.
Pengerusi Unit Nelayan Sungai Gelugor Ali Hikal Saad berkata tujuan utama perarakan sejauh tiga kilometer itu adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2022, selain menunjukkan semangat patriotisme dalam kalangan nelayan Sungai Gelugor dan Batu Uban.
"Kerja-kerja pemasangan bendera di jeti ini telah dimulakan sejak dua minggu lepas dan akan berkibar sehingga 16 Sept berikutan sambutan Hari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Sampan Kibaran Jalur Gemilang Unit Nelayan Sungai Gelugor di sini hari ini.
Hari Kebangsaan 2022: Kandungan eksklusif Astro AWANI di sini
Beliau turut berharap program yang menelan kos hampir RM3,000 itu akan dianjurkan setiap tahun oleh para nelayan di seluruh negeri.
Turut hadir Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed dan Timbalan Pengerusi Unit Nelayan Sungai Gelugor Amirul Din Abdul Aziz.
-- BERNAMA
#nelayan #perarakan #Hari Kebangsaan #kemerdekaan #Jalur Gemilang #Sungai Gelugor #pulau pinang #Pulau Kazambo #Jambatan Pulau Pinang