Nelayan asing ditahan cuba seludup rokok, salah seorang positif COVID-19

Radhi Muslim
Oktober 22, 2020 22:23 MYT
Saringan COVID-19 mendapati salah seorang PATI positif dan telah dimasukkan ke hospital. - Astro AWANI
SANDAKAN: Sekumpulan nelayan yang cuba menyeludup 3.9 juta batang rokok seludup ditahan pasukan Maritim Malaysia dalam serbuan di Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Suki memaklumkan, bot Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Benteng terserempak sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan lalu ditahan untuk diperiksa.
Hasil pemeriksaan menemui 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai termasuk cukai sebanyak RM2.8 juta.
Nilai keseluruhan rampasan rokok putih beserta cukai termasuk bot dianggarkan berjumlah RM4.8 juta.
Enam kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 54 tahun disyaki warga Filipina ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot tamat tempoh.
Saringan COVID-19 yang dijalankan mendapati salah seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) itu positif dan telah dimasukkan ke hospital.
Sementara lima lagi suspek negatif dan diasingkan serta dikuarantin di lokap.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.
#Filipina #Sandakan #COVID-19 #pati #Maritim Malaysia #Tanjung Casuarina #warga filipina #pendatang asing tanpa izin #Akta Kastam #Akta Imigresen
;