Nekad tinggalkan dunia gelap gengster, kini pengarah urusan syarikat berjaya
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 21, 2017 12:05 MYT
Oktober 21, 2017 12:05 MYT
Tidak ramai yang mengenali nama Chiau Haw Choon. Beliau bukanlah tokoh terbilang mahupun artis terkenal tanah air.
Ketika krew Astro AWANI menemuinya di Forum Kepimpinan Muda di Help International School di Shah Alam selepas memberikan syarahan bertajuk "From Gangster to CEO", barulah kisah perit jerihnya diketahui.
Beliau merupakan anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang pernah melalui zaman kegelapan apabila terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah serta pergaduhan berkumpulan. Malah pernah tidur di lokap atas kesalahan itu.
Pendidikan juga tidak pernah diambil pedulinya, malah beliau sanggup berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun. Baginya ketika itu, kepuasan bersosial dan terlibat dalam gengsterisme mampu mengisi kemahuan dan kehendak naluri remajanya.
Berkongsi kisahnya bersama pelajar di sini sangat mengagumkan. Bagaimana beliau bangkit dari zaman gelapnya sehingga mampu menjadi insan yang sangat berjaya hari ini.
Tidak mudah baginya untuk keluar dari kepompong menjadi sebahagian manusia bergelar 'gengster'. Hampir empat tahun beliau bergelumang dalam kancah jenayah.
"Masa tu kita muda. Tak banyak yang kita mampu berfikiran jauh seperti hari ini. Segalanya dilakukan bagi memenuhi jiwa yang muda dan nakal. Percaturan kita masa itu singkat. Malah orang tua saya tak mampu halang saya masa tu. Sudahlah berhenti sekolah, terlibat pulak dalam pelbagai kegiatan jenayah.
"Saya masa tu seperti remaja lain yang inginkan kebebasan dan terikut-ikut trend remaja yang nakal. Saya pernah tidur lokap pun," katanya.
Terbuka hati ikut nasihat
Namun segalanya berubah apabila ayahnya menasihatkannya agar mengikuti kursus asas bahasa Inggeris di Singapura. Ketika itu usianya baharu menjengah 16 tahun.
Selepas beberapa peringkat pembelajaran, beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan ke Deakin University di Australia dalam jurusan kewangan.
Bermula dari situ beliau mula melalui fasa kematangan hidup dan kembali ke Malaysia selepas tamat pengajiannya bagi membantu perniagaan keluarganya.
"Selepas belajar dan kembali ke Malaysia membantu perniagaan keluarga, saya menyedari besarnya tanggungjawab saya kepada keluarga dan masa depan perniagaan ini.
"Saya mula sedar akan potensi sebenar yang dimiliki dalam diri saya. Saya beruntung kerana sedar akan hakikat ini agak awal walaupun pernah tercicir dari pelajaran yang sepatutnya saya lalui ," ujarnya.
Jangan hanyut
Beliau kini bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Group Berhad yang sangat berjaya dan bertanggungjawab dalam memastikan hala tuju syarikat tersebut.
Selain berkongsi pengalamannya bersama lebih 500 pelajar yang hadir, beliau turut mengakui cabaran semasa yang mendepani remaja ketika ini lebih besar dan mencabar.
Jelasnya, jika tidak ditangani dengan bijak remaja akan lebih mudah hanyut dalam keseronokan yang tidak berfaedah dan negara tidak lagi memiliki golongan pemimpin pelapis yang berkemampuan pada masa akan datang.
Sebagai individu yang pernah mempunyai pengalaman hitam dalam hidup sebelum mampu bangkit, beliau menyarankan agar remaja pada masa ini perlu mengenalpasti potensi yang dimiliki untuk mengorak langkah dalam bidang yang sepatutnya diceburi untuk mencipta kejayaan pada masa depan.
Chiau merupakan antara panel yang diundang dalam "Youth Leadership Summit" yang diadakan di sini hari ini.