Nekad terjun tingkap elak ditahan AADK

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 22, 2020 17:29 MYT
Lelaki yang tidak berpakaian dalam gambar ini ditahan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam Ops Cegah di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar, Sungai Petani. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki disyaki penagih dadah sanggup membahayakan diri dengan terjun tingkap dari tingkat dua sebuah rumah untuk mengelak daripada dicekup anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda.
Dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi di Taman Seri Tanjung, Sungai Layar, di sini, pegawai penguatkuasa AADK turut menahan lima individu lain yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita.
Menurut Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, hasil soal siasat mendapati dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu mengaku terbabit menagih dadah jenis methampetamine.
Beliau berkata, dua lagi wanita memberi alasan hanya datang melepak di rumah itu.
Bagaimanapun, kata beliau, rumah itu sudah lama dikenali sebagai sarang penagihan dadah.
Katanya, operasi Ops Cegah ini menggempur 10 kawasan di daerah Kuala Muda.
Antara lokasi terbabit, kata Arnida, termasuklah di Kampung Bukit Kecil, Kampung Berapit di Tikam Batu, Bandar Utama, Taman Seri Tanjung, Kampung Permatang Langsat di Simpor.
Arnida berkata, selain itu lokasi serbuan lain adalah di Taman Keladi, Taman Ria, Kampung Baru, Flat Paya Nahu Baru dan Flat Paya Nahu Lama.
Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 20 individu berjaya ditahan dalam operasi ini yang mana 15 daripadanya ditahan di 10 lokasi berkenaan.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 53 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.
Enam yang ditahan direman di lokap AADK Kuala Muda manakala sembilan yang lain dibebaskan dengan jaminan bersyarat.
#penagih dadah #terjun tingkap #Agensi Anti Dadah Kebangsaan #AADK #kuala muda #Sungai Petani #Kedah #Taman Seri Tanjung #Sungai Layar
;