Nekad jual kereta, pasangan kongsi cabaran besarkan anak pramatang

Bernama
November 26, 2023 16:15 MYT
Mahmud dan Suraya tidak berputus asa untuk memastikan anak mereka membesar dengan sihat dan sempurna. - Gambar/ Bernama
IPOH: Tindakan nekad menjual kereta kesayangan bagi memastikan bayi lelaki pramatang dilahirkan isteri Suraya Mohd Ismail, 34, membesar seperti bayi normal lain, merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup Mahmud Talib, 32.
Anggota polis di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menjelaskan kekangan kewangan semasa tiga bulan pertama selepas kelahiran anak sulungnya Mikail Anaqi pada tanggal 15 Januari 2020 menyebabkan dirinya mengambil langkah sedemikian.
"Tiga bulan pertama selepas kelahirannya, saya memang terkesan. Bukan hanya terpaksa berkorban waktu berulang-alik ke Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) bahkan segala kos perbelanjaan berkaitan susu, rawatan dan sebagainya perlu diselesaikan.
"Boleh kata pada waktu itu, apa jua pun memang dikhususkan untuk anak dan hanya mahu pastikan dia sihat. Itu yang menyebabkan saya nekad untuk jual kereta bagi tampung kos perbelanjaan anak," katanya ketika ditemui Bernama pada sambutan Hari Kelahiran Pramatang Sedunia 2023 Peringkat Negeri Perak di Aeon Kinta City di sini, semalam.
Sambutan Hari Kelahiran Pramatang Sedunia disambut pada 17 November setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang kelahiran pramatang dan kebimbangan keluarga mereka di seluruh dunia.
Mahmud berkata meskipun mengakui pelbagai cabaran perlu diharungi dalam membesarkan anaknya itu namun ia merupakan hikmah yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.
"Menjaga anak pramatang ini memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Saya ini pun kalau nak diikutkan jenis yang panas baran namun lepas kelahirannya saya banyak mendekatkan diri pada Allah SWT untuk memudahkan perjalanan saya membesarkan anak ini.
"Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar dan anak ini juga membesar dengan sebaiknya sepertimana anak-anak normal yang lain," katanya.
Sementara itu, Suraya berkata adakalanya beliau terlupa telah melahirkan bayi pramatang sebesar hanya dua tapak tangan orang dewasa dengan berat 1 kilogram (kg), tiga tahun lepas.
Suraya berkata pada waktu itu, kandungannya baru sahaja mencecah usia 27 minggu namun ditakdirkan melahirkan Mikail Anaqi lebih awal kerana mengalami tekanan darah tinggi.
"Doktor beritahu anak dalam kandungan terpaksa dikeluarkan lebih awal disebabkan tekanan darah tinggi yang saya alami. Pada masa yang sama doktor tidak mahu ambil risiko dan mahu pastikan kandungan selamat," katanya.
Suraya yang juga anggota polis berkata proses kelahiran itu berjalan lancar namun dimaklumkan bahawa bayinya mengalami masalah paru-paru berair dan pendarahan dalam otak.
"Waktu itu memang luluh juga perasaan, namun suami banyak menenangkan dan beri kata-kata semangat bahawa Mikail akan membesar dengan selamat. Doktor juga ada maklumkan bahawa Mikail terpaksa dirawat dalam inkubator di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HRPB ketika itu," katanya.
Selain itu, katanya semasa dalam tempoh berpantang beliau sentiasa ditemani suaminya berulang-alik ke HRPB dari kediamannya di Ulu Kinta setiap hari selama tiga bulan, untuk menjenguk dan memastikan tiada masalah menimpa bayi kesayangan mereka.
"Kadangkala saya minta kebenaran doktor buat 'kangaroo care' dengan anak saya. Maknanya sentuhan kulit ke kulit yang membantu degupan jantung serta pernafasan anak saya sentiasa berada dalam keadaan normal," katanya mengenangkan semula pengalaman ketika itu.
Mengenai keadaan terkini Mikail Anaqi yang kini sudah berusia 3 tahun 11 bulan, Suraya berkata anaknya itu aktif dan lincah.
"Saya percaya menjadi ibu bapa perlu ilmu, apatah lagi nak jaga bayi pramatang...kena tahu juga jaga perasaan kita kerana ada masanya sedih dan perlu bangun semula. Saya juga amat berterima kasih kepada suami kerana sentiasa menyokong dan memberi semangat dalam membesarkan Mikail," katanya.
-- BERNAMA
#bayi pramatang #cabaran ibu bapa #sokongan masyarakat #Hari Kelahiran Pramatang Sedunia
;