Negeri utara Semenanjung terdedah gelombang haba - MetMalaysia
Astro Awani
Mac 11, 2021 15:16 MYT
Mac 11, 2021 15:16 MYT
KUALA LUMPUR: Negeri-negeri utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak terdedah status gelombang haba dalam negara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, situasi itu turut berlaku di kawasan pedalaman Pahang dan Kelantan seperti Jerantut, Temerloh dan Kuala Krai.
Bagaimanapun katanya, ia dijangka berakhir sekitar April ini.
"Nasihat kepada orang ramai adalah supaya mengurangkan aktiviti (luar) semasa cuaca panas dan yang kedua sentiasa membawa bekalan air apabila kita terpaksa berada di dalam keadaan cuaca yang panas.
"Seterusnya yang lebih penting lagi adalah kita mesti menjaga sumber air kita, jadi elakkan daripada mencemarkan sumber air seperti sungai dan sebagainya serta mengurangkan pembakaran terbuka kerana dalam keadaan cuaca panas ini, kalau kita buat pembakaran terbuka, ia boleh merebak dan seterusnya mengakibatkan jerebu.
"Jadi kalau terpaksa membuat pembakaran, kita gunalah kaedah lain seperti membuat baja kompos dan sebagainya, jadi ia akan dapat mengurangkan pencemaran udara," katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, enam kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) dalam perkembangan status gelombang haba dalam negara.
Ia melibatkan Baling, Kuala Muda, Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak.
Tahap 1 (Berjaga-jaga) merekodkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sementara Tahap 2 (Gelombang Haba) merekodkan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Tahap 3 (Kecemasan) pula merekodkan suhu maksimum harian melebihi 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.