Negeri Sembilan selaras kenaikan gaji ikut Persekutuan - MB
Bernama
Mei 2, 2024 17:45 MYT
Mei 2, 2024 17:45 MYT
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan turut melaksanakan penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu sepertimana dilakukan di peringkat Persekutuan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata pihaknya akan mengkaji mengenai keputusan itu selain perkara tambahan berkaitan sebelum ia dibawa ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan datang.
"Kita suka atau tak suka, apabila kerajaan Persekutuan umumkan kerana melibatkan kakitangan awam, kita (negeri) kena selaraskan, sudah tentu melalui pengumuman itu, kerajaan negeri harus laksanakan bersama iaitu melibatkan gaji dan gred sama di Persekutuan.
"Kita tunggu apa jua keputusan kerajaan Persekutuan semalam dan apa yang yang berlaku bukan setakat 15 peratus tapi turut membabitkan kenaikan lain termasuk lantikan kontrak, (caruman) KWSP dan gaji minimum RM2,000 yang harus diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berharap dengan kenaikan tersebut, prestasi dan produktiviti penjawat awam juga akan terus ditambah baik sekali gus dapat mengurangkan keluh-kesah mereka terutama yang berada di peringkat bawahan.
"Memang akan ada implikasi kewangan, tanggungjawab sekarang untuk pastikan kita cukup untuk bayar gaji penjawat awam kita, pakej kita akan ikut Persekutuan, tidak lebih tidak kurang," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga mencapai melebihi RM2,000 sebulan.
-- BERNAMA