Negeri Sembilan sasar kedatangan lapan juta pelancong tahun ini
Bernama
Januari 30, 2024 06:15 MYT
Januari 30, 2024 06:15 MYT
PORT DICKSON: Negeri Sembilan menyasarkan kedatangan lapan juta pelancong ke negeri ini dengan mengatur lebih 50 acara pelancongan tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Beliau berkata, terdapat lebih 200 produk pelancongan akan dipromosikan termasuk pelancongan pelaburan, perubatan serta pendidikan dan kesihatan sebagai usaha menarik pengunjung tempatan dan luar negara.
"Bagi produk pelancongan pelaburan, kita (Negeri Sembilan) boleh menjadi pengantara menarik pelabur asing dalam program Tahun Melabur Negeri Sembilan (Invest NS). Selain itu, bagi pelancongan perubatan, Malaysia merupakan antara negara menawarkan kos perubatan yang rendah berbanding negara lain seperti Hospital UCSI di sini yang menawarkan rawatan tradisional yang boleh dipromosikan kepada pelancong.
"Hari ini kita kumpulkan 40 ejen pelancongan Asia Barat untuk bekerjasama bagi menaikkan nama Negeri Sembilan dalam itinerari program pelancongan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ejen pelancongan dari Asia Barat, Rusia dan India.
Ejen pelancongan itu antaranya dari Tunisia, Oman, Bahrain, Kuwait, Iran, Arab Saudi, Rusia dan India berada di Port Dickson selama empat hari dalam program Global Inbound Tourism Networking anjuran Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri (MITA).
Beliau berkata, kerjasama dengan pihak berkepentingan terus dipertingkat dengan memasukkan itinerari program ejen pelancongan terlibat.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MITA, Uzaidi Udanis berkata, terdapat perubahan trend kedatangan pelancong dari Asia Barat apabila lebih ramai generasi muda di negara berkenaan yang datang ke negeri ini berbanding generasi berusia.
"Jadi kita tawar dan promosikan aktiviti yang lebih mencabar di Port Dickson ini seperti kapal layar, kawasan paya bakau dan santuari penyu kepada mereka," katanya. - BERNAMA