Negeri Sembilan optimis capai sasaran pelaburan baharu lebih RM10 bilion tahun ini - Aminuddin
Bernama
Mac 13, 2024 05:30 MYT
Mac 13, 2024 05:30 MYT
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan optimis untuk mencapai sasaran pelaburan baharu melebihi RM10 bilion pada tahun ini sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada kewujudan beberapa kawasan perindustrian baharu yang telah siap sepenuhnya dan berupaya menarik minat pelabur dalam dan luar negara.
"Insya-Allah, kita lihat pelaburan besar dengan sasaran lebih RM10 bilion tahun ini, dan dengan adanya kawasan industri itu, kita yakin ia menyumbang kepada pelaburan baharu. Pelabur juga menunjukkan minat dan datang bertanya pada Invest NS bagi melihat potensi di negeri ini.
"Ia (Invest NS) adalah pusat menyampaikan maklumat tentang pelaburan dan membantu pelabur berminat untuk terus melabur di sini, kita beri bantuan teknikal dan kelulusan segera bagi memastikan proses dilaksanakan dengan cepat dan cekap. Sudah ada beberapa syarikat besar (mahu melabur) tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini, pada Rabu.
Beliau sebelum ini memaklumkan Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran pelaburan yang ditetapkan melalui 189 projek diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM10.1 bilion pada tahun lepas iaitu lonjakan 13 peratus berbanding RM8.9 bilion pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk membuat kajian berhubung kelonggaran waktu bekerja pada Jumaat kepada penjawat awam wanita sepanjang Ramadan ini.
Bagaimanapun, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah melaksanakan sistem Waktu Bekerja Fleksibel (WBF) kepada penjawat awam negeri yang pastinya telah membantu mereka menguruskan waktu dengan baik. - BERNAMA