Negeri Sembilan laksana lima projek RTB, atasi masalah banjir - MB

Bernama
September 20, 2023 19:30 MYT
AMINUDDIN: Ada RTB yang telah dilaksanakan dan lima ini merupakan yang terbaharu diluluskan, ini perkara baik. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Lima projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Negeri Sembilan diluluskan Kerajaan Persekutuan dan akan dilaksanakan bermula hujung tahun ini serta awal tahun hadapan, sekali gus akan dapat mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia membabitkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Pedas, Rembau; RTB Sungai Raya dan RTB Sungai Solok di Port Dickson; RTB Sungai Jelai, Kuala Pilah dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi, Fasa Lima dari Rantau ke Ampangan di Seremban.
"Ada RTB yang telah dilaksanakan dan lima ini merupakan yang terbaharu diluluskan, ini perkara baik. Mengenai kos, kita belum lagi dapat butirannya dan sedang diuruskan dengan tender juga sedang dibuka. Projek berkenaan akan dilakukan secara berperingkat, dan insya-Allah akan siap sepenuhnya pada 2030.
"Pelaksanaan projek berkenaan akan dapat menangani masalah banjir ini, kerana contohnya kalau sebelum ini berlaku hujan lebat dan banjir di Seremban, Linggi pun akan banjir walaupun tak hujan, jadi perkara ini diberi perhatian dan Alhamdulillah telah mendapat kelulusan.
"Selain itu, jambatan yang menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang di Selangor, juga telah diluluskan. Kita harap dengan adanya pembinaan projek berkenaan akan dapat merancakkan lagi pembangunan di negeri ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan keputusan sekiranya Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang sebelum ini dibatalkan itu akan disambung semula.
Beliau berkata HSR yang jajarannya turut merangkumi laluan Gemas itu pastinya akan membantu meningkatkan lagi pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
#Projek RTB #Rancangan Tebatan Banjir #Negeri Sembilan #Aminuddin Harun
;