Negeri Sembilan giat perkasa industri ternakan, jangka tingkat bekalan daging 15 peratus
Bernama
Mac 18, 2025 05:45 MYT
Mac 18, 2025 05:45 MYT
Aminuddin (dua, kanan) menyempurnakan gimik perasmian Mantai Rayo di Wisma Negeri, pada Selasa. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang giat memperkasakan industri penternakan bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging tempatan menerusi kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, untuk tujuan itu beberapa inisiatif utama telah dirangka termasuk pembangunan ladang tenusu bersepadu di Gemas dan projek penternakan berskala besar yang dijangka meningkatkan bekalan daging tempatan sebanyak 15 peratus menjelang 2030.
"Selain itu, kajian sedang dijalankan bagi memperluaskan penggunaan teknologi penternakan moden seperti sistem fidlot dan penggunaan data analitik bagi memaksimumkan produktiviti ternakan selain menarik lebih ramai usahawan tani dan generasi muda untuk menceburi bidang penternakan.
"Saya yakin dan percaya melalui insentif khas, latihan kemahiran dan skim pembiayaan mikro serta sokongan daripada agensi berkaitan terutama dalam penggunaan teknologi terkini, industri ternakan akan terus berkembang dan mampu mengurangkan kebergantungan kepada import daging," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Mantai Rayo 2025 yang turut dihadiri Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, di sini, pada Selasa.
Mengenai program berkenaan, Aminuddin berkata, ia diperluaskan ke semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 26 hingga 28 Mac membabitkan bekalan 30 ke 50 lembu atau 3,600 kilogram daging dengan harga jualan sekitar RM30 hingga RM36 sekilogram.
"Konsepnya agak berbeza daripada tahun sebelum ini kerana pada tahun ini, ADUN di kawasan terlibat akan mengetuai pelaksanaan program bagi kawasan masing-masing dan menyelaras jualan daging segar supaya penduduk memperoleh daging pada harga yang berpatutan," katanya.
Beliau berkata selain daging mentah, terdapat juga agihan bantuan barangan persiapan juadah raya seperti beras, minyak masak dan telur kepada 100 keluarga kurang berkemampuan di DUN masing-masing sempena program berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi perhatian kepada 10 projek di Negeri Sembilan sebagai suatu yang dinantikan sekali gus mempercepatkan lagi pembangunan di negeri ini.
Anwar menerusi catatan di Facebooknya tiga hari lepas dilaporkan meminta Kementerian Ekonomi untuk memberikan perhatian khusus terhadap 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan, terutama berkaitan projek tebatan banjir.
-- BERNAMA